Malulah kau dengan Nuh

Posted: Maret 11, 2011 in ISLAM, Khazanah, sharing n completed

Manusia diserang putus asa, rasa penat, rasa malas saban waktu. Itu memang lumrah sebagai manusia yang mempunyai limitasi. Tetapi selalunya, kita belum lagi melanggar garisan ‘kepenatan’ kita, kita sudah tersungkur keletihan, putus asa dalam berusaha dan sebagainya.

Justeru, saya ingin kita sama-sama memandang kepada manusia yang berumur 1000 tahun lebih, dan telah berdakwah sekitar 950 tahun lamanya. Dan dia tidak merungut, jauh sekali berputus asa.

Manusia itu bernama Nuh.

Dulu, semasa era blogspot, saya ada menulis satu artikel berkenaan Nabi Nuh. Tajuknya, sama dengan tajuk post ini.

Kali ini, artikel itu telah saya edit semula, dan saya ingin kongsikan dengan pembaca-pembaca Langit Ilahi era website pula. Kerana, saya rasa, apa yang ada dalam artikel ini patut menjadi tatapan, renungan, dan muhasabah untuk kita semua.

Saya pasti, anda tertanya-tanya, kenapa Nabi Nuh?

Mari kita lihat perlahan-lahan.

Kalaulah Nabi Adam itu kita katakan dia sebagai bapa manusia kerana dia adalah manusia yang pertama, maka saya melihat Nabi Nuh sebagai bapa kepada para daie. Hal ini kerana, da’ie yang pertama wujud, menyeru masyarakat meninggalkan perkara syirik adalah Nabi Nuh AS.

Beberapa zaman sebelum datangnya Nabi Nuh, wujud lima orang soleh bernama Wadd, Suwaa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasr. Lima orang ini teramat soleh, dan amat mentaati ALLAH SWT. Penduduk kampung ketika itu amat mencintai dan mengasihi lima orang ini. Masa berlalu dan akhirnya kesemua mereka mati. Penduduk kampung jatuh dalam kesedihan, dan ketika ini Iblis memasukkan jarumnya.

Iblis datang kepada penduduk kampung dan berkata, “ Apa kata aku lukiskan kepada kalian wajah-wajah mereka, supaya kalian sentiasa bersemangat beribadah dengan mengingati mereka? Agar mereka kekal dalam ingatan kalian”

Penduduk kampung menerima. Iblis melukis seperti wajah lima orang itu yang asal, dan setiap kali hendak beribadah, manusia akan menatap terlebih dahulu gambar lima orang soleh ini. Zaman berzaman berlalu, matilah para pemula perkara ini, dan muncul pula anak cucu mereka.

Iblis datang lagi, dan berkata kepada anak cucu mereka, “ Apakah yang kalian lakukan ini? Sebelum beribadah menatap wajah-wajah manusia ini?”

Anak cucu menjawab, “ Oh, bapa-bapa kami menyatakan bahawa mereka ini adalah orang-orang soleh. Kami mesti menatapnya sebelum beribadah kepada TUHAN”

Iblis menjawab, “ Kamu semua salah. Sebenarnya inilah dia TUHAN kalian. Sebab itulah kalian menatapkannya sebelum beribadah. Kalau kalian mahu, aku boleh buatkan patung mereka untuk kalian sembah dengan lebih khusyuk”

Anak cucu bersetuju, maka bermulalah manusia meninggalkan ajaran ALLAH SWT yang diturunkan daripada Nabi Adam as, kemudian bersambung kepada Nabi Idris. Inilah dia sejarah masuknya syirik dalam sejarah manusia. Pada titik ini, manusia mula mengadakan ILAH lain, selain ALLAH SWT.

Maka diutuskan Nabi Nuh as, sebagai Rasul yang pertama ditugaskan untuk mengeluarkan manusia dari kesesatan kepada kebenaran, dari penyembahan kepada berhala, kepada penyembahan kepada ALLAH SWT. Nabi Nuh merupakan Rasul pertama yang memegang tanggungjawab dakwah menyeru manusia ini, membawa risalah ALLAH SWT.

Saya suka hendak mengajak pembaca membaca Surah Nuh, di dalam Al-Quran, surah itu adalah surah yang ke-71. Keseluruhan Surah itu adalah pengaduan Nabi Nuh kepada ALLAH SWT atas segala dakwah yang telah diusahakannya selama 950 tahun.

Ya, Nabi Nuh ini berdakwah selama 950 tahun. Dakwahnya merupakan dakwah yang pertama, dan juga dakwah yang paling lama di dalam sejarah kehidupan manusia.

Adakah dia melalui 950 itu dengan senang lenang tanpa mehnah dan tribulasi, tanpa tentangan dan halangan? Tidak…

Dikatakan bahawa Nabi Nuh ini hidup lebih dari 950 tahun. Umurnya sekitar 1000 tahun lebih. 950 tahun itu adalah umur dakwahnya. Dia berdakwah selama 950 tahun. Seperti Rasulullah SAW, baginda berdakwah 23 tahun, dari umurnya 63 tahun.

Apakah yang dialami oleh Nabi Nuh as ketika menjalankan dakwahnya selama 950 tahun?

Bacalah Surah Nuh. Surah itu penuh dengan inspirasi untuk seorang pendakwah. Mari kita baca sebahagian darinya.

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)

“Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

“Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

“Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;

“Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya),

“Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?

“Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,

“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),

“Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,

“Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?

“Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

“Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

“Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.

“Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.Ayat 5-24 Surah Nuh

Lihat… Nabi Nuh ini melalui semua itu selama 950 tahun. Dia tidak henti-henti berusaha. Kalau cara terang-terangan tak berjaya, dia ubah kepada senyap-senyap, bila lama menggunakan cara senyap-senyap dan tidak berjaya, dia kembali menggunakan cara terang terangan. Kalau dengan menyatakan berita gembira tidak berjaya, dia cuba membawa pula kepada ancaman neraka. Rasul ALLAH bernama Nuh ini tidak pernah lesu, tidak pernah letih, tidak pernah bosan, tidak pernah jemu melalui 950 tahun dakwahnya dalam keadaan manusia menyumbat telinga, memalingkan muka, memasukkan muka ke dalam baju apabila dia menyeru.

Bayangkan kalian, bila kalian berucap, semua pendengar menyumbat telinga mereka dengan jari telunjuk, apakah kalian mampu berbicara? Tidak. Jangan bohong saya. Hari ini, sudah hampir pupus manusia yang mempunyai kesabaran seperti Nabi Nuh ini.

Tetapi Nabi Nuh, dia terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Rasul, sebagai da’ie, sebagai penyeru, sebagai pembawa manusia ke arah kebenaran.

Tahukah kalian, 950 tahun itu, berapa ramaikah pengikut Nabi Nuh?

Diriwayatkan bahawa, pengikutnya pada penghujung 950 tahun hanyalah 83 orang sahaja. Sedikit bukan? Hatta anak dan isterinya juga menolak dakwahnya. Tetapi apakah dia kecewa dengan sedikit yang menyahut seruannya? Adakah dia berhenti? Tidak… Malah dia teruskan dakwahnya. 950 tahun dilangkahi dengan penuh tabah. Kalau kita bagaimana? Baru hendak mengajar budak sekolah rendah ABC, sudah marah-marah kerana lambatnya budak itu menangkap ajaran kita. Kalau kita fikir semula, sekurang-kurangnya budak itu tidak menyumbat telinganya dari mendengar ajaran kita.

Kemudian Nabi Nuh diuji lagi, apabila ALLAH SWT mengarahkan dia membuat bahtera.

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)”. Surah Hud ayat 36-37.

Manusia tambah mengejeknya gila.

“Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya.” Surah Hud ayat 38.

Namun dia tetap tabah. Terus melaksanakan arahan ALLAH SWT tanpa bertanya, tanpa rasa kecewa, tanpa rasa tak bermakna. Dia terus melaksanakan kerja-kerja yang diarahkan.

Kita lihat di sini, Nabi Nuh tidak pula membentak kepada Allah:

“Hei, Kau dah suruh aku dakwah 950 tahun, aku kena maki, kena caci, kena sisih, tapi sikit je yang mengikuti! Sekarang Kau nak suruh aku buat bahtera kat tengah padang pasir jauh dari laut pula?”

Tidak. Nabi Nuh sedikit pun tidak berkata begitu. Dia taat, patuh tanpa banyak soal.

Kita bagaimana? Baru kata jangan couple, kita dah sibuk tanya: “Kenapa tak boleh? Salah ke? Apa yang salah? Kenapa salah?” Dan sebagainya.

Nabi Nuh kemudiannya diuji lagi, sudahlah 950 tahun dilalui dengan kesusahan, kemudian diminta pula membuat bahtera keseorangan, dikutuk gila atas arahan TUHAN, ketika peristiwa banjir besar yang diiturunkan ALLAH kepada kaumnya sebagai hukuman, dia diuji lagi dengan anaknya sendiri tenggelam tidak selamat, mati dalam kekafiran di hadapan matanya.

“Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”. Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”. Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya, Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil” Surah Hud ayat 42-46.

Adakah dia patah hati dengan dakwahnya?

Tidak…

Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”. Surah Hud ayat 47.

Dia terus menjalankan tanggungjawab sebagai da’ie sebaik sahaja bahteranya mendarat di bukit Judiy, terus mendidik 83 orang yang naik ke bahteranya itu, sehingga ke akhir hayatnya, dan buat sementara selepas zamannya, manusia menikmati kehidupan dalam keimanan dengan tenang, sebelum zaman berzaman berlalu dan manusia dengan sifatnya yang pelupa melupakan arahan ALLAH sekali lagi.

Nah…

Setelah menyelusuri perkara ini bersama saya, apakah yang kalian dapat?

Allah SWT berfirman:

“(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” Surah Hud ayat 49.

Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah alasan kalian untuk bermalas-malasan? Apakah kalian hidup sepanjang Nuh untuk menyatakan kalian penat atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini?

Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah kalian hendak menyatakan kalian telah berusaha sebagai alasan untuk kalian mengundur dan berputus asa atas jalan ini? Adakah usaha kalian setegar usaha Nuh?

Wahai da’ie, wahai penyeru, wahai pendakwah, apakah kalian hendak menyatakan yang kalian telah kekeringan idea untuk menyeru manusia kembali kepada ALLAH? Adakah kalian ini dikurniakan kehidupan yang teramat panjang seperti Nuh untuk kalian kehabisan idea sehingga tak terkeluar apa-apa lagi kekreatifan dari kepala kalian?

Tak mahu menyeru? Malas? Penat?

Wahai manusia, apakah kamu sudah putus asa untuk meneruskan pekerjaan kamu? Adakah kamu sudah berputus asa mencari rahmat dan maghfirah Allah kamu? Adakah kamu sudah penat dalam melakukan amal kebaikan? Adakah kamu sudah rasa bosan taat kepada Allah?

Maka, saya kembalikan kata-kata awal saya kepada anda…

“ Malulah kau dengan Nuh”

 

Iklan

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s